SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengumumkan perluasan Subsidi Pengangkutan Awam Selangor RM30 Sebulan kepada perkhidmatan KTM Komuter berkuat kuasa serta-merta.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han, berkata perluasan itu membolehkan manfaat subsidi menjangkau lebih ramai pengguna, melengkapi perkhidmatan Rapid KL On-Demand dan Kumpool yang ditawarkan pada fasa awal.

"Sebelum ini, lebih 90 peratus penerima subsidi memilih Rapid KL On-Demand dengan kumpulan usia 26 hingga 35 tahun menjadi pengguna terbesar, iaitu sebanyak 35 peratus.

"Dengan memasukkan KTM Komuter ke dalam skim ini, kami menyasarkan untuk memberi impak yang lebih besar kepada komuniti di Selangor serta menggalakkan pemanfaatan rangkaian pengangkutan awam secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan hari ini.