MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan serangan siber menyasarkan laman web rasminya ketika proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata pihaknya belum menerima maklumat lengkap berhubung perkara itu.
"Saya tak dapat laporan penuh lagi. Insya-Allah SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam tempoh terdekat berhubung perkara itu.
"Kita sama-sama berdoa serangan siber ini tidak menyerang laman web SPR kerana ia amat penting dalam melaksanakan pilihan raya ini," katanya ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak, di sini hari ini.






