Kenderaan Penjara Kajang tiba di kediaman bekas PM Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, malam ini.KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah.

Najib, 73, tiba dengan menaiki Proton X70 kira-kira 9.27 malam dengan kawalan keselamatan. Difahamkan, kenderaan yang membawa Najib keluar dari Penjara Kajang pada 9 malam.

Ketibaan bekas presiden Umno itu disambut sekumpulan penyokongnya yang berkumpul di luar kediaman itu, dengan laungan 'Hidup Bossku!', selain petugas media yang menunggu sejak 3 petang tadi.

Terdahulu, Najib dibawa semula ke Penjara Kajang selepas menghadiri prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi bagi urusan pentadbiran sebelum dipindahkan ke kediamannya.