KUALA LUMPUR: Tawaran awam permulaan (IPO) Big Caring Group Bhd bagi bahagian untuk orang awam telah terlebih langgan sebanyak 4.31 kali, menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 19 November ini.
Syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia memaklumkan bahawa ia telah menerima 29,474 permohonan bagi 783.75 juta saham daripada rakyat Malaysia.
Pengendali rangkaian farmasi itu memaklumkan bahawa sebanyak 7,266 permohonan bagi 142.85 juta saham terbitan telah diterima untuk bahagian Bumiputera, mewakili kadar terlebih langgan kira-kira 0.94 kali.
Sementara itu, syarikat itu menerima sejumlah 22,208 permohonan bagi 640.89 juta saham terbitan untuk bahagian rakyat Malaysia yang lain, mewakili kadar terlebih langgan kira-kira 7.68 kali.









