JOHOR BAHRU: Tiga lagi lelaki ditahan berhubung insiden pembakaran mercun di atas jalan raya berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Nesa, Skudai, yang tular dalam media sosial sejak kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Azrol Anuar Nor, berkata tangkapan kira-kira jam 4.30 pagi tadi itu membawa kepada jumlah tujuh individu ditahan, setakat ini.
Beliau berkata, enam daripada mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, esok.
"Dalam serbuan di sekitar kawasan Skudai, hari ini, polis menahan tiga lelaki berusia 19 hingga 23 tahun, serta melakukan beberapa rampasan bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan.









