KUALA LUMPUR: Penyedia penyelesaian kejuruteraan infrastruktur kuasa, SKA Capital Bhd, memulakan dagangan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 51 sen sesaham, mewakili premium 18.6 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 43 sen.
Pada pembukaan dagangan hari ini, sebanyak 19.59 juta saham syarikat itu bertukar tangan.
Pengarah Urusannya, Datuk Subas Kumar Ambairam, berkata kumpulan akan menggunakan dana yang diperoleh menerusi IPO untuk meningkatkan kapasiti mengambil projek berskala lebih besar selain memperluas penyertaan dalam sektor pusat data.
Beliau berkata, dana baharu itu akan membolehkan syarikat mengambil lebih banyak projek termasuk daripada pelanggan sedia ada di samping memperkukuh keupayaan operasi menerusi pelaburan dalam mesin dan peralatan.










