KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd memperkukuh kehadirannya dalam segmen kediaman premium menerusi pembangunan The Reserva di Kwasa Damansara, Selangor, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM8.3 bilion.

Pembangunan pegangan bebas seluas 192 ekar itu berteraskan konsep 'The Quiet Side of Kwasa Damansara', yang menggabungkan persekitaran semula jadi, reka bentuk kediaman moden dan kemudahan bandar.

Projek kediaman premium berkenaan turut menampilkan taman hutan seluas 49 ekar yang dikelilingi 11 bahagian pembangunan, sekali gus menjadikan elemen kehijauan sebagai antara ciri utama dalam pelan induknya.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Dr Lim Hock San, berkata pelancaran The Reserva menandakan pencapaian penting dalam usaha kumpulan dalam memperluaskan portfolio pembangunan dengan menawarkan nilai tersendiri kepada pembeli rumah.