Hulu Selangor: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bekerjasama dengan pihak pengurusan Empangan Sungai Selangor, bagi menangguhkan sementara proses pelepasan air sekali gus membantu melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa yang masih hilang selepas dihanyutkan kepala air, di Sungai Pertak, Kampung Pertak, di sini.

Pengarah Operasi JBPM, Datuk Abdul Razak Muda, berkata permohonan itu dibuat bagi memastikan aliran arus sungai kekal stabil dan tidak berubah sepanjang operasi pencarian dijalankan.

"Perubahan aliran arus akibat pelepasan air empangan dikhuatiri menyebabkan kawasan pencarian menjadi lebih luas, sekali gus menyukarkan usaha mengesan mangsa.

"Untuk memudahkan pencarian dan mengehadkan kawasan operasi, kita berkomunikasi dengan pihak pengurusan empangan supaya tidak membuka aliran air bagi tujuan pelepasan sehingga kita benarkan," katanya dalam sidang media, di lokasi pencarian, di sini, hari ini.