KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Masters Kumamoto di Jepun, hari ini.

Pasangan nombor sembilan dunia itu dipaksa mengharungi pertarungan tiga set sebelum menewaskan gandingan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul 21-18, 21-23, 21-13 dalam aksi pusingan pertama selama 56 minit di Gimnasium Wilayah Kumamoto.

Kemenangan itu juga menyaksikan Wei Chong-Kai Wun meneruskan rekod positif ke atas lawan berkenaan selepas turut menewaskan mereka pada pertemuan pertama di Sukan SEA 2025.

Juara Terbuka Perancis itu akan berdepan gandingan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard bagi merebut tiket ke suku akhir, esok.