KUALA LUMPUR: Tourism Malaysia melancarkan inisiatif Teh Tarik Sessions, sebuah siri sesi libat urus bersama pengamal media bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam mempromosikan sektor pelancongan negara, khususnya menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Sesi sulung yang diadakan hari ini itu berlangsung dengan kerjasama Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM) dan diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Mohd Akbal Setia.
NUJM pula diwakili Naib Presidennya, Ilah Hafiz Aziz dan Pengerusi NUJ-NSTP, Farah Marshita Abdul Patah, bersama barisan ahli jawatankuasa berkenaan.
Menerusi sesi berkenaan, Mohd Akbal yang juga Ketua Sekretariat Visit Malaysia 2026-2027, berkongsi beberapa cabaran utama yang dihadapi dalam menjayakan kempen VM2026, termasuk ketidaktentuan geopolitik global, persaingan destinasi pelancongan serantau serta usaha mengekalkan momentum promosi susulan pelanjutan kempen berkenaan hingga penghujung 2027.









