SETIA ALAM: Que Haidar menjelaskan tindakan Nur Fazura menegurnya dengan panggilan mesra 'ayang' menerusi klip video yang tular, baru-baru ini, hanyalah gurauan sebagai sahabat lama.
Que atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 47, mengakui dia dan Fazura gemar mengusik dan menyakat antara satu sama lain sejak zaman muda.
"Kami memang suka bergurau sejak zaman muda lagi. Dia (Fazura) berani dan suka sakat, saya pula agak pemalu.
"Jadi, usikan itu memang perkara biasa antara kami sebagai kawan lama," katanya ditemui pada sesi ramah mesra bersama barisan pelakon drama bersiri terbitan Unifi TV Original, Nak Dengar Cerita Hantu 2 di sini, hari ini.









