Serdang: "Perasaan saya bercampur baur hari ini tapi lebih kepada bangga kerana dapat berdiri sebaris dengan graduan lain yang lebih muda.

"Ia membuktikan usia bukan penghalang untuk mencapai kejayaan walaupun umur saya sudah melebihi separuh abad."

Itu kata jurusolek, Megat Mat Akhir Megat Mohamad atau dikenali Megat Tan, 58, yang menjadi salah seorang daripada graduan di bawah Persatuan Jurusolek Bumiputera Malaysia (MBMUAA) yang menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Seni Solekan sempena Majlis Konvokesyen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), hari ini.

Berkongsi perasaannya, Megat Tan mengakui peluang naik di atas pentas dan menerima skrol pengajian memberi makna yang cukup besar dalam dirinya.