Hadis sumber kedua terpenting dalam Islam selepas al-Quran. Melalui hadis, umat Islam mengetahui penjelasan Rasulullah SAW terhadap ayat al-Quran, memahami tatacara ibadah serta memperoleh panduan dalam pelbagai aspek kehidupan.
Namun, tidak ramai yang mengetahui sejarah penulisan dan pembukuan hadis mempunyai perjalanan yang panjang termasuk perkembangan tradisi keilmuan berbeza antara Ahli Sunah Waljamaah dan Syiah.
Perbezaan ini bukan sekadar berkaitan kitab hadis yang menjadi rujukan, bahkan melibatkan sejarah periwayatan, kaedah penghimpunan dan pendekatan menilai sesuatu riwayat.
Pada zaman Rasulullah SAW, penyampaian hadis berlangsung melalui pengajaran secara lisan, amalan dan juga penulisan. Terdapat riwayat yang menunjukkan baginda pada peringkat awal melarang sahabat daripada menulis sesuatu selain al-Quran. Larangan ini difahami sebagai langkah menjaga kemurnian wahyu agar tidak bercampur dengan catatan lain.








