KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) ketika ini kerana sistem percukaian itu bersifat menyeluruh dan berpotensi membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan kerajaan tidak memperkenalkan semula sistem GST bukan bukan didorong pertimbangan politik, sebaliknya bagi memastikan sistem percukaian negara tidak membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Beliau menjelaskan hasil kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ketika ini 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu sama seperti hasil kutipan GST pada 2017.
Katanya, keadaan itu menunjukkan tiada alasan untuk GST diperkenalkan semula bagi meningkatkan hasil kerajaan berbanding sistem percukaian sedia ada.









