Malaysia kini mempunyai dua rangkaian 5G nasional yang menggunakan teknologi berbeza, iaitu Digital Nasional Bhd (DNB) dengan peralatan Ericsson, manakala rangkaian kedua U Mobile menggunakan teknologi Huawei dan ZTE. (Gambar Reuters)PETALING JAYA: Dasar jelas dan konsisten mengenai hala tuju 5G Malaysia mampu meningkatkan keyakinan pelabur asing dalam membuat keputusan jangka panjang berhubung lokasi operasi perniagaan mereka, kata EuroCham Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Kati Ferry berkata Malaysia mempunyai kelebihan daya saing kerana mengekalkan hubungan baik dengan pelbagai negara, selain membuka ruang kepada penggunaan teknologi dari Barat dan China.

Bagaimanapun, beliau berkata pelabur turut mahukan infrastruktur yang boleh dipercayai serta dasar dan peraturan yang jelas dan stabil, terutama apabila semakin banyak urusan perniagaan dijalankan secara dalam talian.