KUALA LUMPUR: Pelaburan diluluskan dalam 55 projek penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Malaysia berjumlah RM4.16 bilion setakat Jun 2026, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata projek-projek terbabit dijangka mewujudkan 11,623 peluang pekerjaan.

"Di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Industri Aeroangkasa Malaysia 2030, kita menyasarkan untuk menguasai sekurang-kurangnya lima peratus pasaran MRO global menjelang tahun 2030," katanya ketika berucap pada majlis perasmian kemudahan RRPF Engine Services (Malaysia) Sdn Bhd di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca Pengarah Eksekutif Pembangunan Pembuatan MIDA, Norhizam Ibrahim.