JOHOR BAHRU: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, bakal menjadi graduan pertama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) menerusi laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL.Q) pada Majlis Konvokesyen UTM ke-70, Sabtu ini.
Naib Canselor UTM, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim, berkata Shamsul Azri adalah antara 7,369 graduan yang bakal diraikan pada majlis konvokesyen di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru dari 14 hingga 19 November ini.
Istiadat enam hari yang membabitkan 10 sesi penganugerahan itu bakal menerima keberangkatan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, selaku Canselor UTM serta Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor selaku Pro-Canselor UTM.









