Kuala Lumpur: Seramai 1,509 mangsa banjir daripada 417 keluarga di tiga negeri masih ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4.30 petang, hari ini.
Berdasarkan portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga negeri yang terjejas adalah Selangor, Perak dan Sarawak.
Selangor merekodkan jumlah tertinggi dengan 1,168 mangsa daripada 323 keluarga yang berlindung di sembilan PPS membabitkan tiga daerah iaitu Kuala Selangor, Gombak dan Shah Alam.
Di Kuala Selangor, tujuh PPS dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Maharaja Lela yang menempatkan 309 mangsa daripada 107 keluarga; Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (283 mangsa, 85 keluarga); SK Parit Mahang (253 mangsa, 62 keluarga); KAFA Integrasi Hidayah, Bukit Cherakah (89 mangsa, 25 keluarga); Sekolah Agama Batu 8 Ijok (71 mangsa, 20 keluarga); Dewan Komuniti Penyayang Tanjung Siam (50 mangsa, 15 keluarga) dan SK Jaya Setia (12 mangsa, empat keluarga).









