Hulu Selangor: Satu lagi mayat mangsa tragedi kepala air di Sungai Luit, berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak, Kampung Orang Asli Pertak, di sini, ditemukan di sekitar kawasan Empangan Sungai Selangor, pagi tadi.
Penemuan ini sekaligus menjadikan enam mayat mangsa ditemukan setakat petang ini manakala dua lagi masih hilang.
Mayat mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemui kira-kira jam 10.15 pagi sebelum dibawa ke Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) untuk tindakan lanjut.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini turut memberi tumpuan di Sektor A susulan pengesanan bau dipercayai daripada mangsa di kawasan berkenaan.








