KUALA LUMPUR: Maybank menyasarkan untuk memperkasa ekonomi tiga juta individu menjelang 2030 menerusi Strategi Impak Sosial yang diperkenalkan di bawah pelan strategik ROAR30, dengan memberi tumpuan kepada keterangkuman kewangan, literasi kewangan dan pembangunan komuniti.

Maybank berkata, strategi itu bertujuan memperkukuh pendekatan impak sosial kumpulan perbankan berkenaan menerusi dua aspek utama iaitu Kewangan Sosial dan Pemerkasaan Sosial dengan peralihan daripada inisiatif berasaskan output kepada pencapaian keberhasilan yang boleh diukur.

Kumpulan perbankan itu juga menyasarkan untuk menggandakan penyaluran Kewangan Sosial kepada individu serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain memobilisasikan RM100 juta setiap tahun bagi Pemerkasaan Sosial sebagai sebahagian usaha mencapai sasaran berkenaan.