PUTRAJAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan terus mempergiat usaha mekanisasi, automasi dan pendigitalan sektor perladangan bagi mengurangkan kebergantungan pada pekerja asing serta meningkatkan produktiviti.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata antara inisiatif dilaksanakan ialah Project Infinity oleh SD Guthrie Bhd (SD Guthrie) sejak 2021.
"Setakat Jun lalu, sebanyak 444 mesin digunakan bagi aktiviti bukan penuaian seperti pembajaan, kawalan rumpai serta kawalan perosak dan penyakit tanaman.
"Penggunaan mesin itu mengurangkan keperluan 2,252 pekerja am atau 29 peratus tanpa melibatkan pemberhentian pekerja," katanya menerusi kenyataan, hari ini.








