BANGI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata tindakan Majlis Peguam memfailkan permohonan undang-undang bagi mencabar pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak sebagai hak mereka.

"Itu hak mereka. Tapi saya selalu tekankan bila bercakap mengenai isu di bawah Perkara 42, ia dianggap sebagai 'prerogative of mercy' (prerogatif pengampunan) yang kita tahu memang adalah antara kuasa diberi secara penuh budi bicara kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Jadi, itu terpulang kepada Majlis Peguam untuk ambil tindakan yang mahu mereka lakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sijil Kursus Pensijilan Profesional Pengantaraan dan Sijil Lantikan Pengantara serta Pelancaran Buku Panduan Pusat Mediasi Madani Jabatan Bantuan Guaman Tahun 2026, Dewan Auditorium Akademi Perundangan Negara, di sini, hari ini.