GEORGE TOWN: Peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan disifatkan sebagai satu keputusan yang ‘menyakitkan hati’ namun ia mencerminkan kesediaan beliau memikul tanggungjawab berlandaskan prinsip.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, keputusan yang dibuat Loke itu bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi ketika isu berhubung keputusan mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih menjadi perhatian umum.

”Saya memandang peletakan jawatan saudara Anthony Loke sebagai satu keputusan yang menyakitkan hati kita.

”Ini kerana sebab beliau meletakkan jawatan adalah di bawah pengetahuan umum, iaitu berhubung isu yang dibicarakan sehingga kini masih belum selesai,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PBA Holdings Bhd. (PBAHB) di sini hari ini.