CADANGAN Presiden AMANAH yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, supaya banduan menjalani separuh hukuman di penjara dan bakinya menerusi tahanan rumah perlu diteliti secara rasional. Walaupun berlandaskan prinsip kesaksamaan, hakikatnya pelaksanaan mekanisme itu tidak semudah memperkenalkan satu peraturan untuk semua banduan.

Sebagai Menteri Kabinet, beliau sepatutnya memahami keadilan bukan bermakna setiap pesalah mesti menerima bentuk pelaksanaan hukuman serupa. Kesaksamaan di sisi undang-undang menuntut pertimbangan objektif berdasarkan kesalahan, risiko keselamatan dan keadaan individu.

Malah, Malaysia sudah mempunyai sistem parol di bawah Akta Penjara 1995 yang membolehkan banduan tertentu menjalani baki hukuman di luar penjara. Mekanisme ini diwujudkan bagi menggalakkan pemulihan, penyatuan semula keluarga dan integrasi banduan dalam masyarakat.