SHAH ALAM – Ahli perniagaan, Albert Tei memohon Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, membatalkan perintah injunksi interim atau larangan sementara yang diperoleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 4 November lalu.Larangan itu berhubung dakwaan penerbitan kandungan berunsur jelik menerusi akaun media sosial di bawah kawalan Albert, 38, selaku defendan.Albert atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing membantah permohonan injunksi MCMC selaku plaintif dengan mendakwa perintah berkenaan terlalu luas sehingga boleh menjejaskan kebebasan bersuara.Berdasarkan hujahan bertulis, defendan turut memohon, mahkamah menolak permohonan injunksi kekal secara inter-parte yang difailkan MCMC, termasuk arahan supaya kandungan dipertikaikan dijadikan peribadi atau tidak boleh diakses dalam tempoh 24 jam."Albert juga membantah cadangan supaya beliau dilarang membuka, mengendalikan atau mengekalkan akaun media sosial baharu tanpa kebenaran mahkamah terlebih dahulu."Perintah injunksi yang diberikan secara sebelah pihak atau 'ex-parte' pada 4 November lalu perlu diketepikan kerana pihak defendan mempersoalkan asas undang-undang serta keluasan sekatan yang dimohon MCMC," katanya.Pihak defendan berhujah, prosiding sivil tidak sepatutnya digunakan untuk mendapatkan keputusan bahawa seseorang telah melakukan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.Selain itu, pihak defendan berhujah bahawa, kandungan yang dipertikaikan perlu dinilai berdasarkan konteks setiap penerbitan, termasuk tujuan, maksud dan keadaan ketika kenyataan dibuat.Katanya, bahan yang dipertikaikan merangkumi kritikan politik, isu pentadbiran kerajaan, pandangan mengenai hal ehwal awam, satira serta ungkapan peribadi dan kasar.Pihak defendan turut mendakwa, larangan menyertai audio siar, program televisyen, siaran langsung dan platform media pihak ketiga sebagai tidak seimbang.Katanya, ini kerana ia boleh menghalang Albert daripada menyertai program walaupun beliau sendiri tidak mengeluarkan kenyataan yang melanggar Seksyen 233 akta berkenaan.Bukan itu sahaja defendan berkata, larangan terhadap kandungan yang mempunyai kesan hampir sama dengan penerbitan terdahulu disifatkan terlalu umum dan boleh menimbulkan ketidaktentuan mengenai jenis kenyataan yang boleh menyebabkan beliau berdepan tindakan menghina mahkamah."Sehubungan itu, pihak defendan mencadangkan, sekiranya mahkamah berpendapat sekatan masih diperlukan, ia perlu dihadkan kepada penerbitan tertentu yang dikenal pasti dan melarang penerbitan semula kandungan berkenaan sahaja," kata dokumen.Pada 4 November lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Asmah Musa membenarkan MCMC memperoleh injunksi interim secara ex-parte.Sementara itu selepas hujahan pada Rabu, Asmah menetapkan 7 Disember depan bagi keputusan permohonan injunksi secara inter-parte.