KUALA TERENGGANU: Cubaan pemandu lori mengelak sebuah kenderaan keluar dari simpang dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan sembilan kereta di Jalan Wakaf Beruas di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata dalam kejadian jam 8 pagi itu, lori yang dalam perjalanan dari Bachok, Kelantan menuju ke Ajil, Hulu Terengganu, dipercayai termasuk ke lorong kanan sebelum melanggar beberapa kenderaan lain.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan dipercayai tiba-tiba keluar dari simpang di sebelah kiri laluan lori berkenaan.

Katanya, pemandu lori berusia 35 tahun itu kemudian dipercayai cuba mengelak kenderaan terbabit dengan mengubah haluan ke kanan sebelum berlaku kemalangan.