HULU TERENGGANU – Kegirangan sekumpulan peminat motosikal Yamaha RXZ yang dalam perjalanan pulang daripada menyertai program permotoran bertukar duka apabila salah seorang daripada mereka maut manakala dua lagi cedera parah terlibat nahas di Kilometer (KM) 414, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Ajil di sini, malam tadi.
Dalam kemalangan pada pukul 10.20 malam itu, mangsa, Ahmad Syamil Nordin, 23, yang merupakan pembantu kedai makan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Dua lagi rakannya masing-masing berusia 28 dan 33 tahun yang menunggang motosikal Yamaha RXZ lain pula patah kaki dan tulang bahu.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, sewaktu kejadian, Ahmad Syamil dan beberapa rakan-rakannya dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu selepas menyertai program Ride Silaturahim Dungun Calling 2.0 di Dungun.










