KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki kerana memiliki dua ekor burung murai batu dianggarkan bernilai RM50,000 tanpa dokumen kebenaran menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan di Kampung Banggol Pak Esah, Selising, Pasir Puteh, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan, Pahang selepas operasi pada 5.45 petang menemukan burung itu di dalam bangsal di tepi rumah suspek.

“Lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan burung itu yang dipercayai dimiliki sejak 2019 selepas dibeli daripada seorang rakan dari Gua Musang,” katanya dalam kenyataan hari ini.