ABUJA: Seorang lelaki yang disangka meninggal dunia dalam kemalangan motosikal mengejutkan penduduk setempat apabila sedarkan diri selepas dibawa ke bilik mayat, malah meminta sebatang rokok sejurus tersedar.
Lelaki yang tidak didedahkan identiti itu dilaporkan dibawa ke sebuah bilik mayat berhampiran Evwreni, di negeri Delta, Nigeria, pada malam Jumaat selepas dipercayai maut dalam kemalangan berkenaan.
Bagaimanapun, beberapa jam selepas dibawa ke situ, lelaki itu dilaporkan kembali sedarkan diri sebelum muncul dalam keadaan wajah dan tubuhnya diselaputi serbuk putih yang dipercayai digunakan untuk menguruskan jenazah.
Rakaman video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan lelaki itu berdiri sambil dikerumuni penduduk yang terkejut dengan kemunculannya.










