KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mempertingkatkan kesiapsiagaan dengan mengaktifkan persediaan pelaksanaan Pelan Kontingensi di semua Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara susulan insiden serangan dron dan peluru berpandu Houthi di Arab Saudi.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pelan yang sentiasa dikemas kini itu merangkumi pemetaan lokasi rakyat Malaysia, mekanisme komunikasi, penyelarasan sumber serta strategi evakuasi sistematik.

"Ia juga adalah sebagai panduan operasi dalam menghadapi sebarang situasi krisis demi memastikan tindakan bantuan serta evakuasi dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.

"Pelan ini akan digerakkan dan disesuaikan mengikut keperluan semasa termasuk berdasarkan tahap risiko, perkembangan situasi keselamatan setempat serta jumlah rakyat Malaysia yang terjejas," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen malam tadi.