KUALA LUMPUR: Pemain sayap skuad kebangsaan, Safawi Rasid tampil menjelaskan mengenai tindakannya meninggalkan kem Harimau Malaya di China, semalam.

Penjelasan ringkas dibuat Safawi menerusi hantaran di platform Threads susulan terdapat segelintir pihak yang mempersoalkan keputusannya pulang ke tanah air ketika Harimau Malaya bakal berdepan pasukan ranking ke-96 dunia, China, esok.

Tonggak Kuching City FC itu menegaskan keputusan berkenaan bukan dibuat secara sengaja, namun dia tidak menceritakan secara terperinci mengenai punca sebenar terpaksa meninggalkan kem skuad negara.

"Saya bukan saja-saja tinggalkan kem Malaysia, ada benda yang boleh cerita, ada benda yang tidak boleh cerita . Setakat ini saya tidak pernah lagi tolak tawaran pasukan Malaysia jika dipanggil sepanjang karier saya.