NILAI: Dua graduan Diploma Lepasan Ijazah Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), membuktikan bahawa perjalanan menuntut ilmu tidak mengenal usia mahupun latar belakang apabila masing-masing melalui pengalaman berbeza sebelum berjaya menamatkan pengajian dan melangkah lebih jauh dalam bidang perundangan.

Bagi Syahrul Adam Salleh Ibrahim, 25, keputusan meneruskan pengajian dalam bidang guaman syarie hadir bersama cabaran kewangan selepas kehilangan bapanya ketika berada di tahun kedua pengajian, sekali gus mendorongnya bekerja sambil belajar bagi menampung kos pengajian dan meringankan beban ibunya.

Anak tunggal kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu sebelum ini menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Undang-Undang Syariah di USIM sebelum menyambung pengajian dalam program DIJAP bagi memperkukuh kelayakan dalam bidang amalan kehakiman dan guaman syarie.