Kuala Lumpur: Kenaikan ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi acara berpasukan disifatkan tepat pada masanya untuk memberi dorongan kepada pelumba muda negara menghadapi Sukan SEA 2027 dan kelayakan Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, penambahbaikan itu bukan sahaja mengiktiraf pengorbanan atlet, malah memastikan setiap anggota pasukan menerima ganjaran lebih adil berdasarkan sumbangan mereka.

Beliau menyambut baik keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) menaikkan ganjaran pingat emas bagi setiap atlet acara berpasukan daripada RM15,000 kepada RM40,000, iaitu peningkatan sebanyak 166.67 peratus.