Kuala Lumpur: Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak mahu ketiadaan beberapa pemain utama menjejaskan persiapan pasukan menjelang aksi persahabatan menentang China, sebaliknya melihat situasi itu sebagai peluang bagi pemain lain membuktikan kemampuan di peringkat antarabangsa.

Beliau mengakui skuad yang dibawa ke China bukanlah barisan paling ideal berikutan ketiadaan beberapa tonggak atas pelbagai faktor, namun tetap positif dengan kemampuan pemain yang diberi peluang menyarung jersi kebangsaan.

Cheng Hoe berkata pemain baharu juga mempunyai cita-cita dan impian untuk membuktikan kemampuan di peringkat antarabangsa, sekali gus menjadikan perlawanan di China sebagai platform penting untuk mereka menimba pengalaman.