Petaling Jaya: Ibu bapa kini tidak perlu lagi bersusah-payah membawa kerusi keselamatan kanak-kanak sendiri setiap kali menaiki perkhidmatan e-hailing bersama anak.

Grab Malaysia memperkenalkan ciri Kid-Friendly Rides (Beta) yang dibangunkan selaras dengan garis panduan keselamatan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS). 

Ciri khas ini ditawarkan buat keluarga yang mempunyai anak berusia empat hingga 12 tahun di mana kenderaan terpilih akan dilengkapi kerusi keselamatan kanak-kanak.

Menerusi pilihan kenderaan kategori 6-Seater, tempahan disertakan dengan satu kerusi keselamatan tambahan dan dipandu rakan-pemandu yang sudah dilatih mengendalikannya. 

Selain itu, perkhidmatan itu turut membabitkan sejumlah kenderaan yang dilengkapi kerusi keselamatan tajaan Koopers.