PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius penyalahgunaan nama dan identiti pegawainya bagi tujuan memperdaya orang ramai, termasuk melalui kegiatan penipuan.
MCMC memaklumkan pihaknya mengambil maklum laporan tentang penahanan 61 individu yang disyaki terbabit kegiatan sindiket penipuan, termasuk penyamaran sebagai pegawai suruhanjaya itu, susulan operasi dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Selangor.
"MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan nama dan identiti pegawai bagi tujuan memperdaya orang ramai, khususnya melalui kegiatan penipuan yang boleh menjejaskan keselamatan serta kepercayaan masyarakat," menurut MCMC dalam kenyataan, hari ini.
MCMC menjelaskan pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada PDRM dalam membantu siasatan yang sedang dijalankan, termasuk menyalurkan maklumat berkaitan.









