PETALING JAYA: Kira-kira 1.4 juta rakyat Gaza yang masih berlindung di dalam khemah sementara kini berdepan ancaman musim sejuk apabila hujan lebat serta angin kencang bukan sahaja memusnahkan puluhan ribu kediaman, malah meragut nyawa termasuk kanak-kanak.
Ribut musim sejuk pertama yang melanda Semenanjung Gaza sejak 6 November lalu menyaksikan sekurang-kurangnya lima orang terkorban selepas benteng pasir runtuh menimpa khemah di kem pemindahan Ard al-Ribat, Deir el-Balah.
Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Prof. Jismi Johari berkata, tiga mangsa kanak-kanak manakala seorang bayi dilaporkan lemas ketika keadaan cuaca buruk dan memburukkan penderitaan penduduk kehilangan tempat tinggal akibat peperangan.










