KUALA LUMPUR: Hasrat seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Polis Depot untuk melihat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri program di sekolahnya menjadi kenyataan apabila pemimpin nombor satu negara itu meluangkan masa mengunjungi Karnival Anak Malaysia anjuran sekolah berkenaan hari ini.
Anwar berkata, meskipun mempunyai jadual tugas yang padat, beliau tetap meluangkan masa memenuhi undangan murid yang dikenali sebagai Muadz itu, selain turut memanfaatkan kunjungan singkat itu untuk meninjau sendiri keperluan infrastruktur dan keselamatan warga sekolah berkenaan.
"Alhamdulillah, terkejut juga tengok meriahnya karnival ini, dah macam hari keluarga! Seronok tengok anak-anak bersemangat menyertai pelbagai aktiviti, ada berpakaian seperti polis, tentera dan bomba, di samping ibu bapa pun turut sama memeriahkan karnival anjuran sekolah," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.








