Jelebu: Selepas hampir tiga minggu menanti, seekor harimau kumbang jantan dewasa seberat kira-kira 27 kilogram berjaya ditangkap di Kampung Purun di sini.
Harimau berkenaan berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan kira-kira jam 7 pagi tadi.
Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya sebelum itu menerima aduan berhubung kehadiran haiwan liar berkenaan di kawasan dusun durian pada 8 Julai lalu.
Katanya, pengadu sebelum itu membuat aduan berikutan ayam yang diternak di kebun durian itu dipercayai dimakan oleh harimau kumbang berkenaan.








