Klang: Siapa sangka, anak sulung selebriti terkenal, Bella Astillah, Mohamad Ayden Adrean turut memiliki bakat dalam sukan bola sepak apabila mempamerkan aksi lincah bersama pasukannya pada Kejohanan Anfield Harga Rahmah 2026, di sini, hari ini.

Ayden yang beraksi bersama JFA Malaysia (JFAM) Bawah 10 (B-10) tahun diberi tanggungjawab menggalas tugas sebagai penyerang dan berjaya mencuri perhatian menerusi kepantasan larian serta kemahiran menggelecek bola.

Malah, dalam aksi ketiga peringkat kumpulan menyaksikan Ayden diberi peranan selaku ketua pasukan.

Walaupun tidak berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol, aksi bersahaja Ayden di atas padang jelas memperlihatkan minatnya terhadap sukan bola sepak, sekali gus menarik perhatian penonton yang menyaksikan kejohanan berkenaan.