Alor Setar: Seorang lelaki ditahan polis selepas memasuki kawasan Wisma Darul Aman, di sini tanpa berhenti sewaktu melalui pemeriksaan pos pengawal keselamatan sebelum mengeluarkan sebilah pisau ke arah pengawal keselamatan terbabit, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi hari ini, suspek berusia 45 tahun yang menunggang motosikal jenis skuter Yamaha Ego Gear berwarna kelabu dipercayai memasuki kawasan pintu masuk bangunan berkenaan seorang diri.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pengawal keselamatan berusia 29 tahun yang menyedari kejadian itu kemudian mengejar dan menahan suspek untuk bertanyakan tujuan kehadirannya.
Bagaimanapun, katanya, suspek secara tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau kecil berwarna hitam dari poket seluar sebelah kanan sebelum menunjukkannya ke arah pembantu keselamatan terbabit dan rakan sekerjanya.








