Johor Bahru: Seorang wanita berusia 60 tahun maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 45, Jalan Johor Bahru-Mersing dekat Kota Tinggi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 2 petang.

"Kemalangan itu melibatkan kereta Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun dengan kereta Proton Saga dipandu seorang wanita berusia 28 tahun.

"Warga emas berkenaan merupakan ibu kepada pemandu wanita itu, yang menaiki kereta berkenaan bersama-sama dua anak perempuan pemandu terbabit, masing-masing berusia tujuh dan lima tahun," katanya dalam kenyataan.