MELBOURNE: Penyelidik di Australia berjaya mengenal pasti sejenis protein yang mendorong kerosakan organ penting akibat proses penuaan, sekali gus membuka potensi baharu bagi pembangunan rawatan yang dapat membantu individu kekal sihat apabila usia meningkat, lapor Xinhua.

Kajian oleh Monash University di Australia mendapati terdapat kaitan antara protein Granzyme K dengan tanda penuaan pada jantung, hati dan buah pinggang.

Granzyme K dihasilkan oleh sel imun dan parasnya diketahui meningkat dengan ketara seiring pertambahan usia dikesan pada manusia dan tikus, menurut kenyataan universiti itu yang dikeluarkan pada Jumaat.

Profesor Monash University, Nicole La Gruta, yang juga penulis kanan kajian itu berkata Granzyme K menyumbang kepada kerosakan organ akibat penuaan, sekali gus meningkatkan risiko seseorang mengalami penyakit seperti penyakit jantung dan buah pinggang.