MILAN: Agensi perlindungan data Itali pada Sabtu mengenakan denda berjumlah 805 juta euro (RM3.62 bilion) ke atas syarikat gergasi teknologi, Meta Platforms selepas didapati mengakses gambar serta video pengguna peranti Android tanpa kebenaran atau makluman awal.

Menurut kenyataan pihak berkuasa berkenaan, pelanggaran privasi itu berlaku menerusi satu ciri dalam aplikasi Facebook yang bertindak mencadangkan kandungan daripada galeri peribadi pengguna untuk dimuat naik ke platform media sosial tersebut.

Katanya, Meta yang juga syarikat induk Facebook, mengakses kandungan galeri pengguna menerusi aplikasi Facebook pada peranti Android tanpa memaklumkan mereka dengan sewajarnya.

Susulan keputusan itu, pihak berkuasa memberi tempoh selama 60 hari kepada Meta untuk menyahaktifkan ciri berkenaan serta mendapatkan persetujuan berasingan daripada pengguna sebelum menggunakannya.