KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengingatkan pembesar, pemegang jawatan dan pemimpin menjunjung tinggi integriti, menjauhkan kepentingan diri, serta memastikan rintihan rakyat sampai kepada pengetahuan pemerintah supaya keadilan sentiasa terpelihara.
Baginda bertitah pembesar dan pemegang jawatan wajib memahami bahawa kedudukan yang dikurniakan menuntut keluhuran budi dan keikhlasan berkhidmat.
"Para pembesar yang mendampingi takhta, wajib menjunjung integriti, menyembahkan nasihat yang benar betapa pahit sekalipun, dan memastikan suara dan rintihan rakyat sampai kepada pengetahuan Raja, agar Raja Pemerintah tidak leka diulit mimpi indah, tetapi palsu," titah Sultan Nazrin.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat ke Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-70, di sini hari ini.









