KUALA LUMPUR: Jaringan awal yang diledak China memusnahkan impian Harimau Malaya untuk mencipta kejutan ke atas pasukan ranking ke-96 dunia itu apabila tewas 0-2 dalam aksi persahabatan antarabangsa, malam tadi.
China mendahului perlawanan di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre itu seawal minit ke-10 menerusi tandukan Wang Yudong dan kealpaan benteng Harimau Malaya sekali lagi dihukum dengan jaringan Zhang Yuning sembilan minit kemudian.
Ketua jurulatih interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menyifatkan jaringan awal yang diperoleh tuan rumah meletakkan Harimau Malaya dalam situasi sukar untuk bangkit.
Pengendali berusia 58 tahun itu menjelaskan, keadaan berkenaan menyebabkan pasukannya terpaksa melakukan beberapa perubahan dalam perancangan asal bagi perlawanan itu.









