PETALING JAYA: Pasangan pecah ganding negara, Aaron Tai-Yap Roy King muncul beregu lelaki pertama Malaysia merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Jepun Masters di Kumamoto, Jepun, hari ini.

Beregu ke-57 dunia itu meneruskan siri kejutan mereka apabila membenam gandingan tuan rumah yang menghuni ranking No. 10 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 16-21, 21-13, 21-15 dalam masa 55 minit pada perlawanan akhir.

Pertembungan tersebut merupakan kali pertama membabitkan kedua-dua pasangan dalam Jelajah Dunia BWF dan kejayaan yang diukir beregu muda Malaysia itu meletakkan mereka kini mendahului rekod pertemuan 1-0 ke atas bekas juara dunia berkenaan.

Selaku juara pada kejohanan berstandard Super 500 itu, Aaron-Roy King membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$39,500 (RM161,398) berserta pingat emas.