KUALA KUBU BHARU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir kejadian kepala air di Sungai Luit, berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak dekat sini, terpaksa dihentikan sementara berikutan hujan lebat.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, SAR dihentikan sejak 1 tengah hari tadi.
"Operasi SAR berhenti sebentar kerana cuaca hujan sejak 1 tengah hari tadi dan sehingga sekarang belum berhenti. Buat masa ini hanya pemantauan dari tebing dan jambatan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Terdahulu, media melaporkan, 43 anggota daripada pelbagai agensi meneruskan operasi SAR mangsa terakhir tragedi kepala air di Sungai Luit.






