KUALA LUMPUR: Pertemuan tiga hala yang dijangka membabitkan pemimpin Amerika Syarikat (AS), China dan Russia tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada kerjasama pelbagai hala yang lebih luas menerusi platform Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), kata pegawai APEC.

Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Eduardo Pedrosa, berkata kehadiran ketiga-tiga kuasa besar itu pada Minggu Pemimpin Ekonomi APEC di Shenzhen sebaliknya membuka peluang untuk mengadakan dialog dalam kerangka serantau lebih luas yang turut membabitkan kesemua 21 ekonomi anggota.

Sehubungan itu, beliau berkata, APEC kekal relevan sebagai platform yang membolehkan ekonomi anggota terus berkomunikasi dan membincangkan cabaran ekonomi bersama, meskipun berdepan perbezaan serta ketegangan geopolitik.