PEMBUKAAN pusat pengedaran global Daiso bernilai RM1.2 bilion di Pulau Indah, Selangor, serta pengembangan pelaburan Google di Malaysia dalam tempoh 48 jam mencerminkan keyakinan syarikat multinasional terhadap prospek ekonomi dan daya saing negara sebagai destinasi pelaburan strategik di rantau ASEAN.
Kemasukan pelaburan berskala besar itu bukan sahaja memperlihatkan keupayaan Malaysia menarik modal asing, malah mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian bekalan serantau dan ekosistem ekonomi digital global.
Bagaimanapun, manfaat sebenar pelaburan seumpama itu tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah modal yang dibawa masuk atau skala kemudahan yang dibangunkan semata-mata.
Sebaliknya, impak jangka panjangnya perlu dinilai berdasarkan sejauh mana pelaburan berkenaan merangsang aktiviti ekonomi domestik, mewujudkan pekerjaan berkualiti, memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan antarabangsa.









